Pengisian Latest

Para sahabat adalah saksi kehidupan Rasulullah S.A.W yang penuh dengan senyuman. Antara sahabat besar yang pernah menceritakan tentang betapa indahnya senyuman Rasulullah ialah Saidina Umar. Kata Saidina Umar, “Rasullullah S.A.W. tersenyum dan baginda adalah orang yang paling bagus giginya”(diriwayatkan Ibnu Hibban di dalam sahihnya).

Manakala seorang lagi sahabat Rasulullah S.A.W. yang bernama Abdullah bin Al-Harist menyatakan, “Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah S.A.W.” (Riwayat At-Tirmidzi)



Saidina Husein, cucu kepada Rasulullah S.A.W. juga ada menggambarkan tentang sikap baginda seperti yang telah direkodkan oleh Imam Tirmidzi; beliau berkata, “Aku bertanya kepada Ayahku( Saidina Ali ra) tentang adab dan etika Rasulullah S.A.W. terhadap orang-orang yang bergaul dengan baginda. Ayahku mengatakan, ‘Baginda senantiasa tersenyum, budi pekerti lagi rendah hati, beliau bukanlah seorang yang kasar, tidak suka berteriak-teriak, bukan tukang cela, tidak suka mencela makanan yang tidak disukainya. Siapa saja mengharapkan pasti tidak akan kecewa dan siapa saja yang memenuhi undangannya pasti akan sentiasa puas…”.

Tambahan pula, Rasulullah S.A.W. tetap akan mempamerkan senyuman walau dalam keadaan marah hatta kepada orang yang baginda tidak sukai. Begitu indah akhlak Rasullulah S.A.W. dan kita sebagai umatnya yang mengaku bahawa baginda adalah sebaik-baik manusia dan seorang Nabi dan Rasul, tidakkah kita malu kerana tidak mengikut perbuatan baginda yang sentiasa menghadiahkan orang lain dengan senyuman?

Senyuman adalah anugerah Allah kepada setiap hambanya. Senyum hanya menggunakan 17 sahaja otot muka manakala bermasam muka memerlukan lebih 43 otot muka. Namun masih sukar bagi seseorang untuk memberi senyuman ikhlas. Tidak dapat dinafikan orang yang sentiasa senyum akan kelihatan awet muda malah apabila orang lain yang melihat senyuman itu juga akan turut tersenyum. Lebih manis lagi apabila si penyenyum mempunyai lesung pipit di pipi sama ada kiri atau kanan atau kedua dua sekali. Lesung pipit membuatkan si penyenyum akan nampak lebih manis dan tenang.
Senyuman mampu menguatkan semangat pada diri seseorang dan memberikan peluang untuk berfikir dengan tenang. Selain itu, senyuman juga mampu membuatkan orang yang marah terhadap si penyenyum akan menjadi ‘dumbfounded’ dan meredakan kemarahan terhadap si penyenyum. Walaupun pada awalnya agak marah sambil berkata “Apa senyumsenyum?? orang tengah marah ni!!” Namun kemudian kemarahannya akan sendirinya berkurangan.